Permodenan armada Tentera Laut Diraja Malaysia

Frigat kelas Lekiu dalam latihan bersama Tentera Laut Amerika

Bermula dengan perolehan dua buah korvet kelas Kasturi, iaitu KD Kasturi dan KD Lekir pada tahun 1983/84 TLDM mengorak langkah menuju era pemodenannya. Kapal seberat 1,500 tan (1850 tan berat penuh) ini asalnya bersenjatakan misil Exocet MM38 dan mampu menempatkan sebuah helikopter bersaiz sederhana. Kapal- kapal ini bagaimanapun tidak dilengkapi hangar dan sistem anti udara yang berkemampuan tinggi. Seterusnya, 4 buah korvet kelas Laksamana telah dibeli dari Itali . Kapal ini pada asalnya dibina untuk Iraq sebagai korvet kelas Assad, namun ia tidak diserahkan atas sekatan antarabangsa ke atasnya selepas Perang Teluk.

Penambahan aset seterusnya kepada armada TLDM ialah dua buah frigat kelas Lekiu yang berdasarkan rekaan model Yarrow F2000[3], yang telah dibina di Scotstoun, Glasgow dan diserahkan pada tahun 1994/95. Ketika dilancarkan, kapal-kapal ini dianggap yang termoden di Asia. Kapal frigat seberat 2,270 tan (berat penuh)ini bersenjatakan peluru berpandu permukaan ke permukaan, (SSM) Exocet MM40 Block II dan peluru berpandu anti udara Sea Wolf sistem lancaran tegak (VLS). Bagi tugas anti kapal selam torpedo Whitehead 324mm mampu dilancarkan dari sistem B515. Kapal-kapal kelas ini juga berupaya membawa dan menyokong operasi sebuah helikopter Super Lynx 300.

Kapal ronda kelas Kedah dalam Program Kapal Ronda Generasi Baru (NGPV)

KD Pahang, kapal kedua dalam kelas Kedah

TLDM turut merancang pembinaan sehingga 27[4] kapal ronda dalam program Kapal Ronda Generasi Baru, NGPV (New Generation Patrol Vessel).Dari batch pertama, 6 buah kapal telah ditempah, dengan 2 buah kapal dibina dan disiapkan di Jerman and 4 buah lagi dibuat sepenuhnya di limbungan di Malaysia dengan usahasama German Naval Group (GNG). Kapal- kapal ini diasaskan dari rekabentuk modular MEKO A-100 (MEKO = MErzwerk KOmbination)[5] boleh ditingkat upaya menjadi korvet dengan mudah dengan aturan fitted for, but not with, (FFBNW) seperti sistem plug and play[6]. Ciri-ciri kapal- kapal dalam kelas ini mirip dengan sebuah kapal korvet namun ia dikonfigurasi sebagai kapal ronda luar pantai, OPV (Offshore Patrol Vessel).

Program ini tertangguh seketika dan mengalami kelewatan 18 bulan. Ini disebabkan masalah pengurusan dan kewangan yang dihadapi oleh firma PSC-ND yang menyiapkan kapal-kapal tersebut. Kontroversi timbul apabila Jawatankuasa Perakaunan Awam mendedahkan kegagalan PSC-ND menyerahkan kapal dengan jumlah kontrak sejumlah RM5.35 billion ringgit kepada media massa. Sebuah pasukan pengurusan baru ditubuh dan projek ini berjalan semula. Dua kapal pertama dalam kelas ini, 171 KD Kedah dan 172 Pahang akhirnya ditauliahkan ke dalam perkhidmatan pada bulan Jun dan Ogos tahun 2006. Kapal NGPV kelas Kedah ini ditugaskan dalam operasi kawalan dan rondaan di kawasan perairan ZEE. Kapal kelas Kedah ini dilengkapi senjata ringan hanya dengan meriam Oto Melara 72/62 mm dan Oto Melara 30mm. Kapal ketiga, KD Perak[7] dan kapal keempat KD Terengganu baru sahaja diserahkan kepada TLDM baru-baru ini[8][9]. Sistem persenjataan yang lebih berkuasa dan berat boleh ditambah sekiranya perlu.

Model bac kedua NGPV ketika pameran LIMA 2009

Seterusnya, TLDM dan Kementerian Pertahanan sedang mengkaji perolehan bac atau kumpulan kedua kapal ronda NGPV ini. Ketika acara LIMA yang berlangsung pada Disember 2009, Boustead Naval Shipyard mempertontonkan rekabentuk yang ditingkat upaya. Bac kedua ini lapan meter lebih panjang dan diberitakan akan dilengkapi terus dengan sistem senjata, tidak lagi kapal 'kosong' sepertimana bac pertama. Bac kedua juga dijangka akan dioptima bagi tugas anti kapal selam (bahasa Inggeris: Anti Submarine Warfare, (ASW))[10]. Kementerian Pertahanan juga dilaporkan mengkaji kemungkinan perolehan OPV kelas Nakhoda Ragam Brunei. Perkembangan yang dilihat positif oleh pemerhati tempatan ini diharap menjadi kenyataan memandangkan TLDM mengalami masalah kekurangan kapal atau platform untuk operasinya. Brunei menepah tiga buah OPV berdasarkan rekabentuk F2000 TLDM awal 2000 dan siap pada 2004, bagaimanapun ianya dikatakan tidak menepati spesifikasi pihak Tentera Laut Diraja Brunei[11]. Disebabkan rekabentuk yang hampir serupa ini, ketiga-tiga kapal ini mempunyai banyak persamaan dengan sistem yang terdapat di atas kapal-kapal kelas Lekiu dan akan memudahkan integrasi ke dalam armada TLDM kelak.

Kapal selam Scorpene

Setelah sekian lama menunggu, akhirnya penubuhan angkatan kapal selam menjadi kenyataan dengan kontrak yang termeterai pada tahun 2002 Kerajaan Malaysia dan pembuat kapal Perancis, Armaris (dahulunya DCN) dan rakan kongsi Sepanyolnya, kumpulan Navantia (dahulunya IZAR)[12]. Termasuk dalam kontrak pembelian kapal selam ini ialah perolehan sebuah kapal selam bekas Tentera Laut Perancis (bahasa Perancis: Marine Nationale) kelas Agosta (FS Ouessant) berfungsi sebagai kapal latihan. Kontrak ini juga memastikan 150 anggota TLDM dilatih sepenuhnya di Perancis. Kemuncak dari ini sudah pasti penyerahan kapal- kapal ini, kini dikenali sebagai KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak dalam kelas Perdana Menteri, dijangka pada awal 2009 dan akhir 2009[13]. Ketika itu TLDM akan dapat mengimbangi operasi dalam ketiga- tiga dimensi perperangan laut dan dimensi keempat iaitu peperangan elektronik[14]. Kapal- kapal ini direka hasil pengalaman yang diperolehi dari kapal kelas Le Triomphant Perancis dilengkapi dengan peluru berpandu SM39 Exocet anti kapal. Bagaimanapun diberitakan kapal- kapal ini tidak akan dilengkapi dengan MESMA-AIP (Module d'Energie Sous-Marine Autonome-Air Independent Propulsion), sistem yang meningkatkan jangka waktu selaman kapal selam.

Frigat kelas Lekiu Kumpulan II (LEKIU Batch II)

Lekiu batch II ketika dipertontonkan di LIMA 2007

Ketika Pertunjukan Udara Farnborough Julai 2006, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Razak (kini Perdana Menteri Malaysia) mengumumkan TLDM akan menambah 2 lagi frigat yang akan diperolehi dari United Kingdom[15][16]. Penganalisa pertahanan tempatan menjangka perjanjian usahasama akan dimeterai di antara BAE Systems dan Labuan Shipyard[17] bagi membolehkan kapal- kapal ini dibina di dalam negeri dengan manfaat pemindahan teknologi. Bagaimanapun, sehingga artikel ini ditulis perjanjian persefahaman masih belum ditandatangani oleh mana- mana pihak. Ketika pertunjukan udara dan maritim Langkawi, LIMA 2007, BAE Systems telah mempamerkan rekabentuk terkini frigat ini yang lebih berupaya dari batch pertama. Apabila diperolehi kelak, ia bukan hanya dilengkapi dengan peluru berpandu Sea Wolf, tetapi juga dengan MBDA Aster 15 anti udara dan sistem radar, sonar dan penderia yang lebih canggih.

Kapal Sokongan Pelbagai Fungsi, MRSS (Multi Role Support Ship)

Kapal Dokdo, mungkinkah kapal kelas ini menyertai TLDM di masa akan datang?

TLDM juga telah menyuarakan keinginan untuk memperolehi sekitar 3 buah kapal MRSS bagi menggantikan kapal- kapal yang telah lama berkhidmat dengan angkatan itu[18] .Kepentingan kapal sebegini dalam operasi bantuan bencana disedari selepas bencana tsunami yang melanda negara- negara Asia Disember 2004 di samping menyatakan komitmen negara terhadap operasi pengaman antarabangsa. Kapal- kapal ini harus berupaya menyokong operasi bersama angkatan tentera dan mempunyai kemudahan mengangkut tentera dan peralatan dalam misi- misi pasukan pengaman, bantuan bencana, platform hospital medan dan sokongan am armada. Kapal yang akan dibina dijangka mempunyai sesaran sehingga 18,000 tan dalam konfigurasi Landing Platform Dock (LPD), ataupun Landing Helicopter Dock (LHD). Antara rekabentuk yang sedang dinilaitimbang ialah kelas Rotterdam/Galicia (LPD) Belanda/Sepanyol, dan kelas Dokdo (LHD) Korea Selatan.

Frigat Maharaja Lela (LCS) dan Kapal Misi Pesisir Keris (LMS)

Pada 2015 kerajaan Malaysia sudah memulakan projek kapal tempur pesisir (LCS) dengan pembinaan 6 unit kapal kelas frigat Maharaja Lela bersifat kapal permukaan buatan Malaysia oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.Selain itu pada tahun 2016 kerajaan Malaysia juga sudah memulakan projek kapal misi pesisir kelas Keris (LMS) dengan pembinaan 4 unit kapal kelas peronda luar pantai dengan kerjasama daripada China.

Pesawat rondaan maritim

Menurut satu laporan tempatan, TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang menimbang untuk bekerjasama untuk menubuhkan dan mengoperasikan skuadron pesawat peronda kepak kaku. Peruntukkan akan disediakan dari pihak TLDM, manakala TUDM akan menyediakan anggota dan sokongan darat. Beberapa jenis pesawat telah dikenal pasti antaranya Boeing P-8A Poseidon yang diasaskan dari pesawat B737 komersil dan pesawat A319 MPA Airbus yang ditawarkan oleh syarikat EADS. Analisa awal mendapati pesawat- pesawat tersebut bukan sahaja sesuai tetapi juga telah dioperasikan oleh TUDM dalam versi VIP, bermakna TUDM sedikit sebanyak telah mempunyai kepakaran yang diperlukan. Ini akan memudahkan urusan penyelenggaraan pesawat kelak. Bagaimanapun ia masih di peringkat perbincangan.

Rujukan

WikiPedia: Tentera Laut Diraja Malaysia http://www.bernama.com/bernama/v3/printable.php?id... http://tldm.blogspot.com/ http://defence-data.com/f2006/pagefa1093.htm http://www.janes.com/extract/jni2001/jni0362.html http://www.malayviral.com/2016/09/senarai-pangkat-... http://www.naval-technology.com/projects/lekiu/ http://www.spacewar.com/reports/DCNS_Delivers_Firs... http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news_lite.... http://www.lima.com.my/news_navalforces.php http://www.tempur.com.my/dcp.news.view.asp?newsID=...